Cara Tanam Jambu dengan Mudah

Halo semua! Kali ini kami nak bagikan langkah mudah cara tanam jambu di rumah. Dalam berkebun, tanaman jambu sering menjadi pilihan yang popular di kalangan penghobi taman rumah kerana kelebihannya yang mudah ditanam dan memberi hasil yang memuaskan.

Pokok jambu ini tidak hanya menambah kehijauan dan keindahan landskap, tetapi juga memberikan buah yang kaya dengan pelbagai nutrien penting. Bagi sesiapa yang baru mula berjinak-jinak dengan kegiatan berkebun atau mencari cara untuk menambah koleksi taman mereka, tanaman jambu adalah pilihan yang sangat sesuai.

Cara Tanam Jambu Batu

Jika anda ingin menanam pokok jambu batu seperti yang subur dan berbuah lebat, ada beberapa langkah yang boleh diikuti. Tip ini dikongsikan oleh Pyan Sempoi berdasarkan pengalamannya menanam pokok watermelon guava dalam polibeg bersaiz 24×24. Berikut ini cara tanam jambu batu dengan mudah di rumah

Pemilihan Anak Benih

Untuk menanam dalam pasu atau polibeg, disarankan memilih anak benih watermelon guava. Benih ini mudah diperoleh di Shopee atau platform e-dagang tempatan. Pokok ini terkenal kerana mudah berbunga dan berbuah, asalkan diberikan air, baja, dan cahaya matahari yang mencukupi.

Media Tanam

Gunakan campuran tanah yang subur seperti topsoil, tanah hitam sawit, cocopeat, sekam bakar, sekam mentah dan kompos rumput. Pastikan campuran tanah tersebut gembur dan mampu mengalirkan air dengan baik.

Tips Pokok Rendah Berbuah

  • Pangkas pucuk utama untuk galakkan pertumbuhan tunas baru.
  • Potong dahan supaya lebih banyak cabang terbentuk dan pokok menjadi rendang.
  • Gunakan baja tinggi kandungan fosforus (P) dan kalium (K).
  • Pastikan pokok mendapat cukup air kerana jambu batu memerlukan kelembapan tinggi.
  • Bungkus buah seawal saiz ibu jari untuk elak serangan ulat dan pastikan buah cantik bila matang.
Cara Tanam Pokok Jambu Batu
Cara Tanam Pokok Jambu Batu

Apabila Pokok Tinggi Tidak Berbuah

Jika pokok mendapat baja dan air secukupnya tetapi masih belum mengeluarkan buah, mungkin masalahnya adalah kekurangan cahaya matahari. Pokok yang kekurangan cahaya akan tumbuh tinggi kerana cuba “mengejar” cahaya, dan ini mengganggu proses penghasilan bunga dan buah.

Walaupun usia pokok sudah matang, ia mungkin belum bersedia berbuah jika tidak cukup cahaya. Berikan ruang cahaya yang cukup, pastikan pengairan dan pembajaan yang betul, serta lakukan pemangkasan. Sedikit tekanan akibat pemangkasan boleh merangsang pokok untuk mula berbunga dan menghasilkan buah.

Cara Tanam Jambu Air

Kali ini kami nak cuba tanam pokok jambu air madu hanya dalam pasu, dan hasilnya sangat memuaskan dengan buahnya yang besar, pejal, serta manis. Kami gunakan pasu besar dan baja organik, dan dalam tempoh dua bulan sahaja sudah nampak hasil yang menggalakkan.

Menurut pengalaman kami, penggunaan baja organik juga membantu mengurangkan serangan serangga. Hasil buah pun lebih berkualiti, bersaiz besar, elok dan manis.

Anak benih pokok jambu air madu ini boleh dibeli dengan mudah di mana-mana nurseri. Pilih pasu yang agak besar agar tidak perlu menukar pasu terlalu kerap apabila pokok semakin membesar.

Biasanya, pokok jambu yang ditanam dalam pasu dan diberi baja secara konsisten akan mula berbuah dalam tempoh setahun. Sebaliknya, jika ditanam terus di tanah, mungkin ambil masa sehingga dua tahun untuk mengeluarkan hasil.

Cara Menanam Jambu Air
Cara Menanam Jambu Air | Sumber: Keluarga.my | Wan Burhanudin

Sebaik sahaja bunga luruh, bungkus buah muda dengan plastik untuk elakkan lalat buah menyerang putik. Jika terdapat banyak putik pada satu tangkai, kurangkan dan tinggalkan hanya 2 atau 3 biji untuk pastikan buah membesar dengan sempurna.

Penanaman dalam pasu juga memudahkan proses pembajaan dan kawalan serangga. Media tanam yang digunakan adalah campuran tanah siap guna (5 in 1) yang dicampur dengan tanah merah bakar dengan nisbah 60:40, digaul sebati sebelum digunakan.

Untuk baja, boleh guna baja urea dan baja khas buah. Letakkan sesudu kecil dalam pasu setiap dua minggu. Anda juga boleh selang-selikan dengan baja organik untuk hasil yang lebih baik.

Dengan penjagaan rapi, pokok biasanya akan mula berbunga dalam masa 10 hingga 12 bulan. Antara kelebihan menanam dalam pasu ialah kita dapat kawal tumbesaran dan pembajaan pokok dengan lebih mudah.

Buah yang dihasilkan daripada kaedah ini sangat memuaskan, manis, rangup dan lebih sedap daripada buah jambu air Thai. Menanam dalam pasu juga amat sesuai untuk kawasan rumah taman yang kecil, kerana pokok tidak membesar terlalu tinggi dan senang untuk dipangkas dan dijaga.

Sumber: Keluarga.my yang dikutip dari Wan Burhanudin


Menanam jambu adalah pengalaman yang memuaskan bagi penghobi berkebun, baik yang baru mula atau yang sudah lama bergiat dalam aktiviti ini. Dengan langkah-langkah mudah yang telah dibincangkan, seperti pemilihan lokasi yang sesuai, penanaman yang betul, dan penyediaan pemeliharaan yang baik, kita dapat menikmati hasil yang melimpah dari pohon jambu kita sendiri.

Sambil menanam jambu, kita juga memberi sumbangan kepada kepelbagaian tumbuhan dalam persekitaran kita serta menikmati buah-buahan yang sihat dan berkhasiat. Dengan itu, mari kita teruskan minat dan usaha dalam memperkembangkan taman kita dengan tanaman yang bermanfaat dan menarik seperti jambu ini.